SERAMAI 11 individu berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran yang memusnahkan deretan enam rumah kedai kayu berusia lebih 50 tahun di Jalan Besar Bandar Lama, Rompin, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, empat premis setingkat musnah sepenuhnya, manakala dua kedai runcit mengalami kerosakan sebahagian.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin menerima panggilan kecemasan sebelum anggota tiba di lokasi pada jam 9.08 malam.
“Enam lot kedai terbabit terdiri daripada kedai perkhidmatan elektrik, stor, sebuah premis yang dijadikan tempat penginapan, salun rambut yang berkongsi premis dengan kedai buah-buahan serta dua kedai runcit.
“Kesemua 11 individu, termasuk lima wanita, yang berada di premis ketika kejadian berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggota bomba dari BBP Nenasi, Pekan serta BBP Endau, Johor turut membantu memadamkan kebakaran bagi menghalang api daripada merebak ke premis bersebelahan.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.50 malam.
Zulfadli berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian keseluruhan masih dalam siasatan.





