IBU bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang keadaan jerebu menjejaskan kesihatan mereka.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa yang mengambil langkah berkenaan hanya perlu memaklumkan kepada pihak sekolah.
“Saya faham kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini. Kebimbangan ibu bapa kita dengar.
“Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta situasi semasa, khususnya di kawasan terjejas.
Beliau berkata, sebarang tindakan berkaitan pengoperasian sekolah dibuat berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup,” katanya.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) pagi ini, Samarahan, Sarawak menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat, iaitu 226.
Selain itu, sebanyak 40 kawasan di seluruh negara berada pada tahap tidak sihat manakala 24 kawasan merekodkan bacaan sederhana dan dua kawasan pada tahap baik.





