DUA maut manakala seorang lagi cedera ringan selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh sebatang pokok di Kilometer 134, Jalan Kuantan-Johor Bahru di Rompin semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, pemandu Proton Iswara, R Vijay, 27, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin manakala penumpang di tempat duduk belakang yang juga anak saudaranya, P Vijayan, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan dari Rompin menuju ke Kuantan apabila kereta dipandu Vijay dipercayai hilang kawalan.
Katanya, kereta itu kemudian merempuh sebatang pokok di sebelah kiri jalan menyebabkan Vijayan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala pemandu dibawa ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.
“Seorang lagi mangsa, remaja berusia 16 tahun iaitu penumpang tempat duduk hadapan, cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharif Shai berkata, pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga mereka bekerja di sebuah pusat cucian kereta.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan secara melulu atau berbahaya.





