Agong berkenan tangguh permohonan pengampunan Najib

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan hari ini.

“Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya diadakan pada 11 September 2026.

“Yang di-Pertuan Agong juga berkenan supaya permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan membebaskan 65 banduan pada 11 September 2026.

Semua banduan bukan warganegara hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat hari ini.

Beliau turut mengesahkan menjadi antara individu dipanggil untuk menghadiri mesyuarat terbabit, bagaimanapun enggan memperincikan maklumat lanjut berhubung agenda yang disenaraikan.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bermesyuarat untuk mempertimbangkan antara lain permohonan Najib bagi mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan kes seleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Pada Julai 2020, bekas Perdana Menteri itu yang disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Bagaimanapun pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, daripada 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here