ISWAMI Malaysia bersama wartawan Indonesia doakan keselamatan lima pengamal media hilang di Selat Sunda

IKATAN Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) menzahirkan rasa amat prihatin dan simpati yang mendalam berhubung insiden kehilangan lima petugas media Indonesia yang dilaporkan terputus hubungan sejak 8 September lalu ketika menjalankan tugas liputan aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau di sekitar perairan Selat Sunda.

Presiden ISWAMI Malaysia , Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, seluruh komuniti media di Malaysia bersimpati dengan rakan sejawat di Indonesia dalam menempuhi detik ini.

DATUK Ahmad Zaini Kamaruzzaman

“Kami di ISWAMI memantau rapat perkembangan misi mencari dan menyelamat (SAR) ini.

“Doa serta ingatan kami sentiasa mengiringi kelima-lima rakan media iaitu Muhammad Bagus Khoirunnas (Antara), Arie Basuki (Merdeka.com), Yudistiro Pranoto (iNews), Firdaus Wajidi (Anadolu Agency) dan Donal Husni (wartawan bebas), serta tiga kru kapal yang bersama mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ISWAMI turut menzahirkan penghargaan atas komitmen tinggi pihak berkuasa Indonesia, termasuk Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) yang telah mengerahkan aset bagi mengesan kedudukan mangsa.

Beliau berharap agar pasukan SAR gabungan terus tabah dan mempergiatkan usaha pencarian di sekeliling kawasan terjejas sehingga kesemua mereka ditemui dengan selamat.

Tambah Ahmad Zaini, insiden ini menjadi peringatan besar tentang risiko tinggi serta pengorbanan yang terpaksa dihadapi oleh pengamal media demi menyampaikan berita sahih dari kawasan bencana alam.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan untuk mengutamakan protokol keselamatan yang ketat bagi setiap petugas media yang bertugas di lapangan berbahaya pada masa hadapan.

Sebagai sebuah badan yang mendasari semangat setiakawan dan persaudaraan wartawan serantau, ISWAMI akan terus memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa serta organisasi media yang terlibat, selain berharap akan ada berita gembira dalam masa terdekat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here