SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan seperti yang digambarkan dalam laporan terkini diterbitkan Anthropic.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum dan memandang serius perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.
“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, perkara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat MCMC.
“MCMC juga tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan sebagaimana yang digambarkan dalam laporan tersebut,” katanya.
Menurut MCMC, pihaknya kini sedang meneliti laporan berkenaan selain mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan bagi memastikan fakta sebenar serta memahami konteks isu yang dibangkitkan.
Katanya, berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh kelak, MCMC akan menentukan tindakan susulan yang bersesuaian mengikut bidang kuasanya, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan usaha melindungi orang ramai serta menangani kemudaratan dalam talian kekal menjadi teras tanggungjawab suruhanjaya berkenaan.
“MCMC akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia,” katanya.





