KERAJAAN meneruskan langkah mendapatkan semula aset yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd, termasuk mengambil tindakan perundangan di beberapa bidang kuasa antarabangsa.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, usaha berkenaan kekal menjadi keutamaan kerajaan dalam mengurangkan kerugian kewangan yang terpaksa ditanggung negara susulan skandal berkenaan.

Menurut kementerian itu, jumlah obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan kini mencecah RM51.4 bilion, dengan RM42.5 bilion telah dibayar, manakala baki hutang berjumlah RM8.9 bilion.
Pada masa sama, sebanyak RM31.3 bilion berjaya diperoleh menerusi usaha pemulihan aset, menjadikan anggaran kerugian yang masih perlu ditanggung kerajaan sekitar RM20 bilion.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, usaha berkenaan bukan sekadar bertujuan mendapatkan semula wang yang hilang, tetapi turut berkait dengan soal amanah, keyakinan terhadap institusi dan maruah negara.
“Kerajaan MADANI berikhtiar memperteguh tatakelola dan kebertanggungjawaban institusi agar pengkhianatan sebesar ini tidak berulang,” kata kenyataan dikeluarkan MoF hari ini.
MoF memberitahu, pihaknya mengambil maklum mengenai tuntutan kira-kira S$1.298 bilion (RM4.2 bilion) yang difailkan di Mahkamah Tinggi Singapura terhadap DBS Bank Ltd.
Tuntutan itu dikemukakan empat syarikat yang kini dalam proses pembubaran, melalui pelikuidasi yang dilantik mahkamah, dan berkait dengan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB serta SRC International.
Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB memaklumkan, kes berkenaan melibatkan lima akaun DBS yang dibuka pada 2013 oleh syarikat terbabit.
Berdasarkan dokumen pembukaan akaun, Tan Kim Loong atau Eric Tan dinamakan sebagai pemilik benefisial tunggal syarikat berkenaan serta penandatangan bagi kelima-lima akaun.
Kesemua akaun itu didakwa menjadi saluran kepada lebih AS$1 bilion dana 1MDB dan SRC yang diseleweng antara 2013 hingga 2014.
Kerajaan turut meneruskan tindakan pemulihan aset melalui kerjasama serta prosiding undang-undang di beberapa negara, antaranya Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom dan Singapura.
Antara perkembangan penting ialah penyelesaian dengan JPMorganChase pada Ogos 2025, yang menyaksikan RM1.4 bilion disalurkan ke Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia.
Dana yang berjaya diperoleh semula itu digunakan bagi memenuhi bayaran hutang dan tanggungan kewangan berkaitan 1MDB serta SRC International.
Usaha berterusan tersebut dilihat penting bagi mengecilkan jumlah liabiliti yang masih perlu ditanggung kerajaan, selain memastikan dana yang berjaya dipulihkan dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan komitmen kewangan berkaitan skandal berkenaan.




