JABATAN Perikanan Pahang sedang menyiasat dakwaan seorang pemancing yang dilaporkan mendaratkan ikan piranha perut merah atau nama saintifiknya, Pygocentrus nattereri di Empangan Klau di Raub.
Pengarahnya, Roslan Abu Hasan berkata, pejabat Jabatan Perikanan Pahang Barat akan melawat lokasi empangan berkenaan bagi mengumpul maklumat lanjut serta mengesahkan penemuan ikan larangan di negara ini yang biasanya hanya terdapat di Lembangan Sungai Amazon di Amerika Selatan.
“Kita sedang siasat bagi mengesahkan dakwaan berhubung kehadiran spesies ikan pemangsa ini di Empangan Klau. Pegawai perikanan akan ke sana minggu ini,” katanya menerusi mesej pesanan ringkas hari ini, lapor NST.
Semalam, sebuah kumpulan pemantau hidupan air tawar tempatan menyuarakan kebimbangan mengenai kehadiran spesies ikan pirana perut merah di empangan berkenaan sebelum ini.
Ikan pirana perut merah berkenaan dipercayai dilepaskan oleh pihak tidak bertanggungjawab ke dalam empangan itu.
Kehadiran spesies terbabit menimbulkan kebimbangan berikutan kemungkinan terdapat lebih banyak ikan berkenaan dilepaskan atau keupayaannya berbiak di situ.
Untuk rekod, ikan pirana dan pacu merangkumi pirana perut merah serta pacu perut merah adalah spesies yang dikawal atau dilarang di Malaysia berikutan kebimbangan terhadap kesannya sebagai spesies invasif.
Pemilikan, pengimportan atau penjualan spesies berkenaan adalah tertakluk kepada peraturan dan kelulusan Jabatan Perikanan.





