Jenazah Kapten Zainol Afiq selamat dikebumikan, lebih 500 hadirin sebak, pilu

JENAZAH Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, juruterbang helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terkorban dalam nahas meragut lima nyawa di Long Lellang, Miri pada Selasa lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height di Senawang kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Zainol Afiq, 31, tiba dari Masjid Bandar Baru Senawang selepas disolatkan yang diimamkan sendiri oleh bapanya, Bee Sham Ahmad, 59.

Upacara pengebumian itu dihadiri lebih 500 ahli keluarga dan kenalan Allahyarham.

BAPA Allahyarham Kapten Zainol Afiq, Bee Sham Ahmad mengimamkan solat jenazah anaknya di Masjid Bandar Baru Senawang sebelum dikebumikan petang ini

Sementara itu, beberapa rakan menyifatkan Allahyarham Zainol Afiq sebagai seorang yang suka membantu rakan dan orang memerlukan.

Rakan sekolah Allahyarham, Dr Muhammad Fauzan Baharum, 31, mengakui dia tidak mampu menahan air mata apabila mendengar berita mengenai nahas mengorbankan Allahyarham.

“Ketika di sekolah dulu, arwah tidak mempunyai masalah dengan sesiapa pun kerana dia sememangnya seorang yang baik.

“Malah, dia seorang yang peramah dan senang menolong orang. Sesiapa yang minta tolong, dia akan cuba bantu,” katanya ditemui di Masjid Bandar Baru Senawang hari ini, lapor Harian Metro.

Tambahnya, walaupun masing-masing sudah berkerjaya dan tinggal di luar Seremban, mereka akan berjumpa apabila pulang ke rumah keluarga di Senawang.

Katanya, kali terakhir berjumpa ketika menghadiri perlawanan bola sepak yang dianjurkan oleh bekas pelajar sekolah mereka tahun lalu.

“Saya tinggal di Putrajaya, tetapi kalau kebetulan sama-sama balik ke Senawang, kami akan keluar lepak. Arwah memang dari dulu baik orangnya, tak pernah berubah,” katanya.

Menceritakan detik mengetahui berita kehilangan sahabatnya itu, Muhammad Fauzan berkata, dia rasa tidak sedap hati sebaik tahu mengenai berita pesawat terhempas di Miri, Sarawak dan berharap tidak membabitkan Zainol Afiq.

“Bila tahu ada helikopter terhempas itu saya dah tak sedap hati dan berdoa supaya bukan kawan saya.

“Tapi esoknya disahkan dalam kumpulan WhatsApp sekolah, salah seorang mangsa adalah Zainol Afiq. Saya menangis kerana sedih,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara kepada isteri Allahyarham, Hashim Mohd Harun, 58, pula menyifatkan bapa kepada dua anak itu sebagai seorang yang baik dan bertanggungjawab.

“Dia anak saudara yang baik dan bertanggungjawab. Komitmen dia sangat tinggi dan bertanggungjawab kepada keluarga.

“Dia juga tidak bezakan kami keluarga sebelah isteri dan keluarganya sendiri,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kerana dia dianggap ikon kepada keluarga kerana Zainol Afiq berjaya membina kerjaya dalam usia muda.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here