SEORANG warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan dikerat di Sepanggar, Februari lalu.
Piluta Samad, 72, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.
Piluta didakwa membunuh Hamidah Husin @ Lisa, 44, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar, antara jam 6 petang hingga 7 malam, 11 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan, pesalah lelaki berumur bawah 50 tahun boleh dikenakan hukuman minimum 12 sebatan.
Piluta sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret pada 27 Februari lalu, namun tiada pengakuan direkodkan ketika itu, lapor BH.
Kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 8 September lalu selepas Piluta menjalani penilaian mental atas permintaan pasukan pembelaan.
Pada 23 Julai lalu, laporan hospital mengesahkan Piluta layak untuk dibicarakan dan tidak mengalami sebarang penyakit mental.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Sabah, Naziah Mokhtar dan Timbalan Pendakwa Raya, Samira Khalili, manakala Piluta diwakili Datuk Ram Singh, Joan Goh, Ian Vun, Prem Elmer Ganasan dan Prabjit Singh Gill.
Mahkamah menetapkan 19 Oktober ini bagi pengurusan kes sebelum perbicaraan.





