SEORANG pemandu lori didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki video dan gambar lucah bekas kekasihnya pada Mac lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap S Devesh, 22, dan memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Devesh didapati memiliki video dan gambar lucah di dalam telefon bimbitnya di pejabat cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, kira-kira jam 3.30 petang pada 26 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 7 Januari lalu, mangsa yang berada di kediamannya menerima ugutan daripada tertuduh menggunakan gambar lucah miliknya selain mesej berbahasa kesat yang mengugut mahu memecah masuk rumah.
Mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum hasil siasatan dan analisis forensik mendapati terdapat fail gambar serta video lucah dalam telefon bimbit tertuduh.
Terdahulu, peguam Nigel Tai Zhe dan LSharveen yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guam mereka hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Peguam turut memaklumkan tertuduh menanggung ibu bapa yang uzur serta menghidap pelbagai penyakit.
Katanya, itu merupakan kesalahan pertama tertuduh yang hadir sendiri ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan selepas dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ini.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Tertuduh membayar denda berkenaan, lapor BH.





