JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan sepasang suami isteri warga Vietnam yang dipercayai bertindak sebagai ejen haram dengan menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen kepada warga asing dalam Operasi Khas di sekitar Jalan Bemban, Ampang, 11 September lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi yang bermula jam 12.15 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil maklumat dan risikan selama sebulan.
Beliau berkata serbuan di sebuah premis kediaman itu membawa kepada penahanan pasangan suami isteri warga Vietnam berusia 34 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki warga Vietnam berusia 10 bulan yang dipercayai anak mereka.
“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan, pasukan operasi menyita tujuh naskhah pasport Vietnam dan lima unit cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu.
“Turut disita sebuah telefon bimbit, satu set komputer meja, salinan perjanjian sewaan premis kediaman, beberapa helai borang pengesahan warganegara Vietnam dan borang permohonan pasport Vietnam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata, sebuah kenderaan jenis Ford Kuga yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan awal mendapati pasangan itu bertindak sebagai ejen haram dengan menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen khususnya kepada warganegara Vietnam.
“Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk menguruskan lanjutan pas, Pas Khas serta tiket penerbangan pulang ke Vietnam bagi PATI yang berada di Depot Imigresen.
“Bayaran yang dikenakan mencecah sehingga RM12,000 bagi setiap individu bergantung kepada jenis urusan yang dilakukan. Kegiatan tersebut dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata semakan awal mendapati lelaki warga Vietnam berkenaan telah tinggal lebih masa, manakala isterinya memiliki Pas Pembantu Rumah Asing (PRA).
“Kanak-kanak yang ditemui bersama pasangan tersebut pula didapati tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.
Zakaria berkata, lelaki berkenaan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Isterinya pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala kes turut disiasat berkaitan kedudukan kanak-kanak berkenaan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“JIM sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap penemuan cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu serta dokumen dan peralatan lain yang disita bagi mengenal pasti modus operandi dan kemungkinan penglibatan individu lain dalam kegiatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata JIM akan terus mempergiatkan risikan dan tindakan penguatkuasaan terhadap individu atau pihak yang menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen secara tidak sah serta kegiatan membabitkan penyalahgunaan atau pemalsuan dokumen perjalanan.





