MANES dekati, dengar dan perkasa masyarakat Negeri Sembilan

KERAJAAN Negeri Sembilan memperkenalkan pendekatan Masyarakat Negeri Sembilan (MANES) sebagai usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menerusi pendekatan yang lebih dekat, prihatin dan menyeluruh.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Siti Nur Umaira Hasim berkata, MANES memberi penekanan terhadap pembangunan wanita, kanak-kanak dan keluarga melalui ekosistem sokongan yang inklusif serta berterusan.

SITI Nur Umaira Hasim (kanan) menyantuni kanak-kanak pada majlis perasmian program Masyarakat Negeri Sembilan (MANES) di Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah di Seremban hari ini

Menurut beliau, pendekatan itu dilaksanakan menerusi lima inisiatif utama iaitu MANES @ Suara Kita, Kembara Kasih MANES, MANES Prihatin, MANES Emosi dan MANES @ DulT Je!.

“MANES @ Suara Kita membawa perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih dekat melalui penempatan pegawai di setiap DUN (Dewan Undangan Negeri), manakala Kembara Kasih MANES pula membawa pendekatan turun padang untuk bertemu masyarakat serta mengenal pasti keperluan mereka.

“MANES Prihatin menggunakan pendekatan door to door, MANES Emosi memberi fokus kepada kesejahteraan emosi dan mental keluarga, manakala MANES @ DulT Je! memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan serta peluang menjana pendapatan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program Masyarakat Negeri Sembilan (MANES) di Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah di Seremban hari ini.

SITI Nur Umairah Hasim

Siti Nur Umaira berkata, MANES bukan sekadar memberi bantuan kepada golongan memerlukan, sebaliknya turut menyediakan ruang dan sokongan supaya rakyat dapat meningkatkan keupayaan diri serta berdikari.

“Bagi kita, tiada rakyat yang terlalu jauh untuk disantuni. MANES mahu dekat dengan rakyat, memahami keperluan mereka dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus pembangunan Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak RM532,704 bantuan disalurkan bagi memperkukuh usaha kebajikan masyarakat, termasuk sokongan kepada pusat pembelajaran autisme dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM339,000 diperuntukkan menerusi Subsidi Yuran Pembelajaran Autisme kepada 26 pusat pembelajaran autisme, manakala RM193,704 disalurkan sebagai Bantuan Kewangan Kerajaan kepada tiga PSK.

Siti Nur Umaira berkata, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kanak-kanak yang memerlukan mendapat akses kepada pendidikan, selain membantu organisasi kebajikan meneruskan khidmat kepada masyarakat.

“Apabila wanita diperkasa, keluarga menjadi lebih kuat. Apabila keluarga kuat, masyarakat akan lebih sejahtera,” katanya.

Beliau berkata, MANES menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan negeri membina masyarakat yang lebih stabil, maju dan makmur dengan menekankan pendekatan mendengar suara rakyat, turun padang serta menyediakan sokongan mengikut keperluan.

“Itulah asas MANES – kerajaan yang mendengar, turun padang, prihatin dan memperkasa rakyat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here