PENDEKATAN subsidi bersasar perlu terus diperkasa bagi memastikan bantuan kerajaan benar-benar dinikmati golongan yang layak, di samping mengelakkan ketirisan wang negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Zaidi Jatil berkata, pengurusan subsidi perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta keperluan rakyat, khususnya di Sabah yang mempunyai faktor geografi dan jaringan pengangkutan awam yang berbeza.
Menurutnya, kenaikan harga bahan api turut dipengaruhi faktor luaran seperti harga minyak mentah dunia, bekalan global dan perkembangan geopolitik, justeru pengurusan subsidi perlu dilaksanakan secara berhemah.
“Kerajaan masih membayar subsidi. Yang berubah hanyalah pendekatannya. Subsidi kini disasarkan supaya wang rakyat diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan bukan dinikmati tanpa batas oleh semua pihak, termasuk mereka yang tidak sepatutnya menerima subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika harga RON95 tanpa subsidi mencecah RM3.72 seliter pada Jun 2026, kerajaan mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter kepada lebih 14 juta penerima yang layak, dengan penggunaan 200 liter memberikan penjimatan dianggarkan RM346 sebulan.
Bagi diesel pula, rakyat Malaysia yang layak menikmati harga bersubsidi RM2.10 seliter mulai Julai 2026, manakala golongan yang tidak layak termasuk bukan warganegara dikenakan harga tanpa subsidi.
Zaidi berkata, pendekatan subsidi bersasar turut membolehkan kerajaan mengimbangi perbelanjaan bahan api dengan keperluan lain termasuk pendidikan, kesihatan, infrastruktur, pengangkutan awam serta pembangunan Sabah dan Sarawak.
Dalam masa sama, beliau berkata, penyasaran subsidi diesel sebelum ini dianggarkan berpotensi menjimatkan kerajaan sekitar RM4 bilion setahun, yang boleh disalurkan semula kepada rakyat melalui bantuan tunai dan penyediaan kemudahan asas.
Bagaimanapun, katanya, keadaan di Sabah perlu diberi pertimbangan khusus berikutan faktor geografi, jarak perjalanan yang jauh dan keterbatasan pengangkutan awam di sesetengah kawasan.
“Sabah mempunyai keluasan geografi yang besar, jarak perjalanan yang jauh dan jaringan pengangkutan awam yang masih terhad di banyak kawasan. Ramai rakyat bergantung kepada kenderaan sendiri, termasuk pikap dan kenderaan diesel, untuk bekerja, berniaga, mengangkut hasil pertanian serta mencari rezeki,” katanya.
Sehubungan itu, Zaidi berpandangan, usaha yang lebih wajar adalah menambah baik mekanisme BUDI termasuk meningkatkan kuota, memperluas kelayakan kepada golongan yang tercicir serta memudahkan proses permohonan bagi penduduk di kawasan pedalaman.
“Jika kuota tidak mencukupi, kita perjuangkan penambahan. Jika ada golongan yang tercicir, kita perluaskan kelayakan. Jika mekanismenya menyusahkan rakyat pedalaman, kita permudahkan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut membolehkan kepentingan rakyat Sabah terus dipelihara, selain memastikan ketirisan dan penyeludupan dapat dibendung serta pengurusan kewangan negara kekal berhemah.
“Subsidi untuk rakyat yang memerlukan. Ketirisan kita hentikan. Kewangan negara kita jaga. Hak dan kepentingan rakyat Sabah kita pertahankan,” katanya.





