Bot karam: Satu mayat ditemukan, dua lagi masih hilang

POLIS mengesahkan penemuan satu mayat dipercayai mangsa tragedi bot karam berhampiran perairan sempadan Perak dan Selangor, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata, mayat berkenaan ditemukan sekitar jam 9.30 pagi dalam keadaan terikat pada sebuah tong.

Menurutnya, mayat itu kini dalam proses dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi tindakan lanjut termasuk proses pengecaman.

“Proses pengecaman sekarang dalam tindakan. Mayat dalam perjalanan ke hospital dan hospital terdekat adalah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

“Mayat dijumpai di perairan antara Perak dan Selangor,” katanya ketika ditemui hari ini, lapor Buletin TV3.

Mohd Rahimi memberitahu, polis akan meminta empat mangsa yang terselamat dalam kejadian itu membantu proses pengecaman mayat berkenaan.

Katanya, kesemua empat mangsa yang ditemukan selamat semalam dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan.

Dua daripada mereka dirawat di HTAR, manakala dua lagi menerima rawatan di Hospital Banting.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa terselamat, tujuh individu berkenaan pada awalnya berpegangan tangan antara satu sama lain selepas bot yang dinaiki mereka karam.

Bagaimanapun, mereka kemudian terpaksa melepaskan seorang demi seorang daripada kumpulan berkenaan apabila keadaan mangsa semakin lemah, termasuk akibat dehidrasi.

Mangsa yang dilepaskan daripada kumpulan itu kemudian diikat pada tong bagi membantu mereka terus terapung di laut.

Mohd Rahimi berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada mangsa terselamat, dua lagi individu yang masih hilang juga dipercayai diikat pada tong.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here