MAJLIS Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan hari ini memutuskan Surat Cara Proklamasi yang dibuat oleh Undang Yang Empat bagi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembulan adalah sah.
Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat itu mengesahkan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar telah dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Berikut adalah kenyataan penuh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan:
MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI SEMBILAN
KEPUTUSAN MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI NEGERI SEMBILAN BIL.6 TAHUN 2026 (15 SEPTEMBER 2026)
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang telah bersidang pada Selasa, 15hb September 2026 dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Bin Lassim.
Kenyataan media awal oleh YAB Menteri Besar sebelum ini telah menerangkan tentang fungsi dan peranan YAB Menteri Besar, Kerajaan Negeri, Institusi Yang diPertuan Besar, Undang Yang Empat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Kami ingin memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan semalam telah mencapai kuputusan kolektif seperti berikut:-
- Bahawa proklamasi penurunan takhta DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir menurut Perkara 10 UUTKNS 1959 bertarikh 19hb April 2026 telah ditandatangani dan dicop mohor oleh YTM Undang Luak yang sah dan berkuatkuasa. Adalah prerogatif mutlak YTM Undang Yang Empat untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan prerogatif ini dijamin oleh Perkara 32 dan Perkara 79 UUTKNS 1959 serta Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan. Proklamasi tersebut juga telah ditandatangani oleh YAB Menteri Besar Dato’ Ismail Bin Lasim pada 3hb Ogos 2026 menjadikan proklamasi tersebut sempurna menurut Perkara 10 (2) UUTKNS 1959.
- Bahawa proklamasi pemilihan DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19hb April 2026 juga telah ditandatangani dan dicop mohor oleh YTM Undang Luak yang sah dan berkuatkuasa. Maka proklamasi tersebut adalah teratur dan sempurna menurut UUTKNS 1959.
- Bahawa mesyuarat menjunjung tinggi ketetapan yang telah dibuat oleh YTM Undang Yang Empat dan menghormati prerogatif kuasa YTM Undang Yang Empat sebagaimana yang termaktub menurut adat serta UUTKNS 1959. Oleh yang demikian, bagi melaksanakan sabda dan ketetapan YTM Undang Yang Empat menurut proklamasi Perkara 10 dan Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19hb April 2026 tersebut, maka adalah dengan ini diumumkan secara rasmi bahawa DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah diturunkan takhta Kerajaan Negeri Sembilan oleh YTM Undang Yang Empat dan DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar telah dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru berkuat kuasa serta-merta.
- Bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri hendaklah mengambil langkah serta-merta melaksanakan pengumuman ini bagi mematuhi sabda dan ketetapan YTM Undang Yang Empat.
BARISAN AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI SEMBILAN







