SEORANG anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan bongsunya berusia lima tahun dengan menyepaknya di sebuah kedai makan, minggu lalu.
Mohamed Nisa Mohamed, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Ablah dan memohon untuk dibicarakan.Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kandung mangsa didakwa menganiaya kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tiga bulan dengan menyepaknya.
Dia melakukan kesalahan itu di Restoran Baan Suwarin, Jalan Kuala Krai pada 10.55 malam, 11 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimi tidak menawarkan jaminan dengan alasan mangsa merupakan anak kandung tertuduh dan kes berkenaan serius.
Bagaimanapun, peguam Zuhaidie Akmal Hasan Basri yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum.
Permohonan itu dibuat dengan mengambil kira tertuduh merupakan anggota tentera yang menanggung tiga anak serta isteri yang menghidap kanser dan penyakit buah pinggang kronik.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dan saksi.
Mahkamah menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.





