POLIS Negeri Sembilan memperketat kawalan keselamatan di semua kawasan susulan perkembangan semasa berkaitan isu institusi diraja negeri itu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, semua pihak diminta bersabar dan menyerahkan kepada pihak berkaitan untuk menyelesaikan perkara berkenaan mengikut undang-undang.
“Peranan polis memastikan ketenteraman awam dan bila berlaku perkara ini, kita sentiasa memberikan perhatian lebih terhadap aspek keselamatan di semua kawasan,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti hari ini, lapor BH.
Mengulas laporan polis dibuat Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berhubung dakwaan beliau dipaksa menandatangani proklamasi, Alzafny berkata, perkara itu akan dimaklumkan apabila tiba waktunya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Turut berangkat dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-‘Abidin.
Sementara itu, kawalan keselamatan dipertingkatkan di Wisma Negeri, Seremban yang menempatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan.
Tinjauan media mendapati, individu yang ingin memasuki premis berkenaan perlu melalui pemeriksaan dan pengesahan petugas keselamatan.
Pelawat perlu memaklumkan tujuan kehadiran serta nama individu yang ingin ditemui kepada petugas keselamatan sebelum dibenarkan memasuki premis.
Situasi sama turut membabitkan petugas media apabila mereka diminta memaklumkan nama individu yang ingin ditemui meskipun sudah menunjukkan pas media kepada petugas keselamatan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada prosedur berkenaan arahan baharu atau sebahagian daripada langkah kawalan keselamatan.




