Ugut bakar rumah: Penjual minyak wangi dipenjara sembilan bulan gagal bayar denda RM5,000

SEORANG penjual minyak wangi dipenjara sembilan bulan kerana gagal membayar denda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Machang hari ini atas pertuduhan mengugut membakar rumah ketika bergaduh dengan isterinya, minggu lalu.

Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan terhadap Muhammad Shahril Mat Sali, 32, yang sebelum itu mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya yang berusia 35 tahun dengan menyatakan jika wanita itu mengulangi perbuatan keluar rumah tanpa izinnya, tertuduh akan membuang barang-barang dan membakar rumah dengan niat hendak menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kegentaran terhadap mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bandar, Pulai Chondong di Machang jam 2 pagi pada 11 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan, lapor BH.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd Amran manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliyana Othman.

Terdahulu, Ahmad Hazim mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil pertimbangan bahawa tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan suami isteri.

Norfaraliyana dalam rayuannya memohon denda yang minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dengan kesalahan itu dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 namun tertuduh tidak mampu membayar denda yang ditetapkan dan dikenakan hukuman penjara sembilan bulan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here