Gagal bayar denda RM10,000, penganggur dipenjara 24 bulan aibkan empat wanita

MAHKAMAH Majistret Machang hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap seorang penganggur selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan mengaibkan kehormatan empat orang wanita pada Mei lalu.

Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Hazim Ezwan Hazizi, 27, selepas dia mengaku bersalah di atas semua empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan tertuduh dipenjara 24 bulan selepas gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dua wanita berusia 30 dan 24 tahun dengan menunjukkan isyarat lucah yang bertujuan mengganggu kesantunan mangsa.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 54 tahun.

Pertuduhan keempat pula, Muhammad Hazim didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun, lapor Harian Metro.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di tangga dan tandas di Kompleks Islam Jajahan Machang dan Mahkamah Rendah Syariah Machang antara jam 11.35 pagi hingga 11.50 pagi pada 19 Mei lalu.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd Amran manakala tertuduh diwakili peguam, Norhusniza Akmal Husain.

Terdahulu, Ahmad Hazim mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam, selain untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

Norhusniza memohon hukuman denda yang minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

Laporan psikiatri yang dibentangkan ketika prosiding mahkamah mendapati, mental tertuduh berada dalam keadaan waras ketika kejadian selain sedar mengenai sifat dan akibat daripada perbuatannya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img