POLIS menahan seorang wanita kerana disyaki menyamar sebagai pegawai polis dan menipu seorang pesara guru menyebabkan mangsa menyerahkan dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta rantai leher emas bersama loket bernilai RM15,000.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek yang berusia 31 tahun itu ditahan pada 13 September lalu di Kota Bharu hasil risikan dan maklumat yang diterima.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 12 September apabila mangsa yang berusia 75 tahun menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
“Mangsa dimaklumkan mempunyai saman mahkamah berjumlah RM25,000 dan didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram serta sindiket dadah yang boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun.
“Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman melalui WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Yusoff, mangsa yang panik menerima panggilan itu kemudian diarahkan untuk merahsiakan perkara itu daripada sesiapa.
Tambahnya, mangsa turut diarahkan menyerahkan dua kad ATM serta rantai leher bersama loket emas milik isterinya dengan alasan pegawai penyiasat akan datang ke rumah.
“Sekitar jam 5 petang, seorang wanita datang menaiki sebuah kereta ke rumah mangsa sebelum menerima barangan tersebut dan beredar.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek menerima arahan melalui WhatsApp daripada individu tidak dikenali untuk mengambil barangan milik mangsa,” katanya.
Tambah beliau, rantai emas berkenaan kemudiannya dijual di sebuah kedai emas di Kota Bharu pada hari sama, manakala sebahagian wang hasil jualan dimasukkan ke akaun pihak ketiga.
Katanya, mangsa bagaimanapun sempat menghubungi pihak bank untuk menyekat kad ATM berkenaan dan tiada transaksi dikesan.
Menurut Mohd Yusoff, pihaknya merampas dua kad ATM milik mangsa, sebuah kereta Perodua Axia, resit bank dan resit kedai emas.
“Rantai emas berkenaan turut berjaya diperoleh semula daripada kedai emas terbabit. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohd Yusoff menegaskan orang ramai perlu berwaspada dengan panggilan individu yang menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia atau pihak bank bagi mendapatkan barangan berharga.
“Polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia dan pihak bank tidak akan menghubungi anda untuk meminta menyerahkan kad ATM, PIN atau barang kemas kepada sesiapa.
“Jangan panik dengan ugutan saman atau tangkapan. Tamatkan panggilan dan sahkan sendiri dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menerima arahan mengambil atau menjual barangan atas suruhan individu tidak dikenali kerana boleh disiasat sebagai pihak yang terlibat.
“Jika baru sahaja menyedari telah ditipu, segera hubungi NSRC 997 dan buat laporan polis,” katanya.





