Jenazah tiga sekeluarga maut kebakaran dikebumikan satu liang lahad

JENAZAH tiga sekeluarga yang terkorban dalam tragedi kebakaran di Taman Desa Tambun di Ipoh awal pagi tadi, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tambun malam ini.

Proses pengebumian warga emas, Raja Ahmad Raja Ali, 70; isterinya, Zaitun Mohamed, 64; serta cucu mereka, Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, dihadiri kira-kira 300 ahli keluarga dan kenalan biar pun dalam suasana hujan renyai kira-kira jam 8.25 malam.

Sebelum itu, ketiga-tiga jenazah dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh ke Masjid Jamek Al-Amin, Tambun pada jam 6.50 petang untuk disolatkan bersama hampir 500 jemaah.

Tragedi pilu sekitar jam 4 pagi itu mengorbankan tiga mangsa daripada empat penghuni rumah berkenaan, dengan hanya seorang sahaja terselamat iaitu anak pasangan warga emas tersebut, Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47.

Nasib malang yang menimpa keluarga berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan sumbangan awal RM5,000 menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun selain memberikan bantuan membaik pulih kediaman terbabit.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah mengesahkan hasil bedah siasat mendapati punca kematian dua mangsa disebabkan kecederaan akibat terbakar, manakala seorang lagi berpunca daripada sesak nafas terhidu asap. Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here