SEORANG wanita berusia 63 tahun maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan untuk membeli nasi lemak berhampiran Sekolah Menengah Agama (SMA) Fauzi di Yan pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 6.35 pagi itu berlaku ketika mangsa, yang difahamkan menetap di sebuah sekolah pondok berdekatan sedang melintas sebelum dirempuh kenderaan berkenaan.
Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kereta terbabit dipercayai dipandu seorang jururawat yang bertugas di Hospital Yan, lapor BH.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, siasatan itu membabitkan kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Katanya, kenderaan berkenaan telah dibawa ke balai polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.





