JPJ nafi kerajaan benarkan Rohingya ambil lesen memandu

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan tular kononnya kerajaan bercadang membenarkan etnik Rohingya mengambil lesen memandu di negara ini.

JPJ dalam kenyataan memaklumkan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap penyebaran kandungan berkenaan.

Menurutnya, kenyataan yang disiarkan menerusi akaun Facebook Along Auto Parts menyerupai berita rasmi dengan tajuk ‘JPJ Cadang Benarkan Rohingya Ambil Lesen Memandu’ adalah palsu.

“JPJ memandang serius tindakan mana-mana pihak yang menghasilkan, mengubah suai atau menyebarkan kandungan dengan menggunakan nama, identiti atau imej jabatan sehingga boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kredibiliti JPJ.

“Laporan kepada MCMC sudah dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil berhubung penyebaran kandungan berkenaan,” katanya.

Semakan di media sosial mendapati dakwaan sama turut dikongsikan pengguna lain menggunakan imej memaparkan beberapa pegawai JPJ pada satu sidang media.

Imej berkenaan disertakan tajuk ‘JPJ Cadang Benarkan Rohingya Ambil Lesen Memandu?’ sehingga mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial.

JPJ turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Orang ramai diminta sentiasa merujuk saluran rasmi JPJ bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here