POLIS sedang mengesan seorang wanita berusia 23 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Jalan Masjid Bukit Kandis, Kuala Nerus, sejak pertengahan Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berkenaan dikenali sebagai Nur Bahiyah Ahmad Shukri.
Katanya, wanita itu mempunyai kulit hitam manis, rambut lurus hitam paras bahu, berhidung besar serta bibir dan mulut nipis dengan ketinggian 153 sentimeter dan berat kira-kira 43 kilogram.
“Ketika kehilangannya, wanita itu memakai tudung dan blaus hitam berlengan panjang.
“Dia turut memakai seluar palazzo berwarna coklat, membawa beg tangan kelabu, bertudung coklat, berselipar serta membawa patung beruang kecil berwarna kelabu,” katanya.
Azli berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan wanita itu pada 13 September lalu yang dibuat bapanya di Balai Polis Gong Badak.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bapa wanita berkenaan menyedari anaknya tiada di rumah kira-kira jam 5.30 petang pada 15 Ogos lalu.
“Bapanya cuba menghubungi anaknya namun gagal dan turut mencari di sekitar stesen bas Kuala Terengganu, bagaimanapun tidak menemuinya.
“Sehingga kini, wanita berkenaan masih belum pulang ke rumah dan gagal dikesan,” katanya.
Beliau berkata, wanita itu mempunyai peralatan komunikasi namun panggilan yang dibuat kepadanya tidak dijawab.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH). Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Nur Bahiyah diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Rosfan Mohamed di talian 013-4895548.





