Dua hari berturut-turut, APM Baling tangkap dua ular sawa

DUA ekor ular sawa, termasuk seekor yang dipercayai baru menelan kambing, berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling dalam operasi berasingan selama dua hari berturut-turut.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, tangkapan pertama membabitkan ular sawa batik sepanjang hampir 10 meter dan seberat 45 kilogram (kg) di hadapan Klinik Desa Ibu dan Anak di Kampung Teluk Teduri, kelmarin.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.58 malam sebelum sepasukan anggota APM digerakkan ke lokasi untuk menangkap reptilia berkenaan.

“Tiba di lokasi, didapati ular sawa batik itu masih berada di situ dan anggota kami menghadapi cabaran untuk menangkap ular itu kerana ia agak agresif selain saiznya yang panjang dan besar.

“Dengan kemahiran dan pengalaman yang ada, anggota APM Baling berjaya menangkap ular dan dibawa ke pejabat APM untuk perlindungan sementara,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.

Mohd Faizol berkata, dalam kejadian berasingan di Kampung Rambong, Pulai, semalam, pihaknya berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang enam meter dan seberat 35kg yang dipercayai baru menelan seekor kambing.

Beliau berkata, ular itu ditangkap selepas pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 3.16 petang.

“Dua anggota APM Daerah Baling yang diketuai Koperal (PA) Muhamad Imran Hashim digerakkan ke lokasi pada jam 3.33 petang untuk menjalankan operasi menangkap reptilia terbabit.

“Hasil tindakan pantas, cekap dan terkawal oleh anggota bertugas, ular itu berjaya ditangkap dengan selamat. Operasi berjalan dalam keadaan terkawal dan tidak membabitkan sebarang kecederaan kepada orang awam mahupun anggota operasi dan tamat pada jam 4 petang,” katanya.

Mohd Faizol berkata, kedua-dua ular sawa berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Beliau menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada, khususnya ketika berada di kawasan berhampiran semak, longkang, sungai, kebun dan kawasan yang berpotensi menjadi habitat reptilia.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu serta perubahan suhu dan keadaan persekitaran boleh menyebabkan reptilia bergerak keluar dari habitat asal bagi mencari tempat yang sesuai, sumber makanan atau berlindung.

“Sekiranya ternampak reptilia, orang awam dinasihatkan tidak menghampiri, mengganggu atau cuba menangkapnya. Pastikan keselamatan diri dan orang sekeliling terlebih dulu serta hubungi APM untuk tindakan lanjut,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here