Bekas COO Tabung Haji tidak mengaku terima kos ubah suai tiga rumah RM302,000

BEKAS Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, 56, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima barang berharga berupa kos pengubahsuaian tiga rumah bernilai lebih RM302,000, sembilan tahun lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

“Tidak mengaku salah, Yang Arif,” katanya, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan Ketua Pegawai Operasi TH didakwa menerima barang berharga dengan suatu balasan, iaitu kos pengubahsuaian tiga rumah yang diketahui mempunyai kaitan dengan urusan yang dijalankannya.

Ketiga-tiga rumah berkenaan terletak di Jalan Polo Air 13/58B, Seksyen 13; Jalan Sepah Puteri 5/20B, Kota Damansara dan Jalan USJ Height 2/2A, Subang Jaya.

Kos pengubahsuaian masing-masing berjumlah RM235,866.58, RM50,698.74 dan RM15,933.95, menjadikan keseluruhan lebih RM302,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 7 Mac 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM70,000 serta syarat tambahan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM30,000 atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak berusia antara 12 hingga 25 tahun yang masih belajar di universiti dan sekolah.

Peguam turut memaklumkan tertuduh hadir ke Pejabat SPRM pada 2 Ogos lalu untuk memberikan keterangan ketika masih mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berikutan masalah jantung.

Peguam juga memohon supaya pasport tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan dan tidak mempunyai sekatan perjalanan ketika siasatan terdahulu.

Awang Kerisnada berkata, walaupun kesalahan berkenaan adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin, Seksyen 389 Kanun Tatacara Jenayah memberikan budi bicara kepada mahkamah untuk membenarkan jaminan dalam keadaan tertentu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warga Malaysia yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur.

Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya setiap tiga bulan bermula Oktober ini, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 November ini.

Adi Azuan antara lima pegawai kanan TH yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH susulan dapatan berkaitan tindakan tatatertib terhadap mereka membabitkan beberapa kes salah laku serius yang kemudiannya diringankan selepas rayuan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here