MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 14 Oktober depan untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sementara menunggu rayuannya.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh itu pada prosiding pengurusan kes hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu menfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB RM2.27 bilion.
Hukuman penjara 15 tahun bagi kes 1MDB itu diperintah bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman dalam kes SRC International.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam hadir bagi pihak pendakwaan, manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.
Sementara itu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, turut dilihat hadir di kompleks mahkamah kira-kira jam 9.50 pagi bersama dua anak lelakinya.
Ditanya mengenai pembayaran denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat bapanya, Nooryana Najwa sekadar memaklumkan tidak tahu.
“Saya tidak tahu,” katanya ringkas dan tidak memberi reaksi ketika ditanya sama ada jumlah RM50 juta yang disyaratkan bagi pengampunan berkenaan sudah mencukupi atau tidak, lapor BH.
Pada 26 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah mendapati Najib bersalah terhadap kesemua empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.





