SEORANG anggota polis berpangkat koperal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan selepas dibelasah dua lelaki warga Myanmar di Kampung Pamah Kulat di Raub awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.45 pagi ketika anggota polis berkenaan datang ke lokasi itu bagi mengendalikan aduan penduduk tempatan mengenai gangguan ketenteraman oleh dua pekerja ladang durian terbabit.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, insiden berpunca daripada tindakan mangsa menegur suspek yang dipercayai mabuk dan memainkan pembesar suara secara kuat di tepi jalan.
“Suspek tidak berpuas hati lalu terus memukul mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, tindakan pantas polis berjaya menahan dua suspek warga asing berusia 26 dan 30 tahun sejurus selepas insiden berkenaan untuk siasatan lanjut.
Azry Akmar berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.
Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang menggugat ketenteraman awam atau menyerang anggota polis bertugas.





