Mayat lelaki ditemukan tidak sempurna dipercayai dibaham buaya

MAYAT seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sempurna pada tubuh dipercayai dibaham buaya di kawasan anak sungai Kampung Tulibas Baru di Lahad Datu hari ini.

Sebahagian daripada tubuh mangsa, Selesion Appang, 39, ditemukan penduduk kampung di dalam sungai kira-kira jam 3.06 petang, selepas mangsa dilaporkan hilang sejak keluar mencari lokan kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, mangsa ditemukan kira-kira tiga kilometer dari lokasi penemuan topinya di kawasan muara sungai berhampiran pantai.

“Keadaan tubuh mangsa tidak sempurna dengan bahagian dari pinggang ke bawah serta sebelah tangan kanan tiada dan dipercayai dibaham buaya.

“Pasukan penyelamat bertindak mengeluarkan mangsa dari sungai sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.

Menurut Sumsoa, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.32 pagi berhubung seorang lelaki dipercayai hilang di kawasan sungai.

“Mangsa dilaporkan keluar dari rumah pada Rabu (23 September) lalu untuk mencari lokan di sungai berhampiran, namun belum pulang dan gagal dihubungi.

“Usaha pencarian awal oleh ahli keluarga menemukan topi mangsa di kawasan muara sungai berhampiran pantai, manakala peralatan mencari lokan berupa pencakar turut ditemukan di dalam sungai,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan bersama agensi penyelamat lain dengan pencarian di sepanjang tebing sungai dan permukaan air.

“Penduduk kampung turut membantu menggunakan bot persendirian bagi menjalankan pencarian di permukaan air sebelum mangsa berjaya ditemukan pada jam 3.06 petang.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.45 petang selepas tiada lagi bahaya dilaporkan di lokasi kejadian,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here