SEORANG wanita warga emas kerugian RM762,700 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan yang menawarkan perkhidmatan kelulusan taraf penduduk tetap (PR) Singapura menerusi media sosial.
Mangsa mula terjerat selepas tertarik dengan satu iklan tawaran perkhidmatan berkenaan pada 23 Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, mangsa kemudian menghubungi satu nombor telefon pendaftaran Singapura sebelum dimaklumkan bahawa kadar bayaran urusan berkenaan adalah sebanyak SGD300.
Beliau berkata, suspek kemudian meminta pelbagai bayaran susulan sehingga membolehkan mangsa membuat 123 transaksi deposit tunai ke beberapa akaun bank yang diberikan antara 5 Mei hingga 31 Ogos lalu.
“Kesemua wang pembayarannya yang berjumlah RM762,700 itu disalurkan menggunakan wang simpanan peribadi mangsa sendiri.
“Namun begitu, suspek terus meminta bayaran tambahan biar pun mangsa telah melunaskan kesemua wang yang diminta sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul Hisham berkata, tindakan berterusan suspek itu akhirnya menyedarkan mangsa bahawa dia telah ditipu sebelum tampil membuat laporan polis bagi tindakan undang-undang.
Tambahnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran perkhidmatan rasmi atau dokumen kerajaan yang diiklankan menerusi platform media sosial.





