Krisis NS: Selesaikanlah demi rakyat, jangan menangguk di air keruh

KRISIS di Negeri Sembilan (NS) masih belum nampak ‘cahaya di hujung terowong’ untuk sampai ke penghujungnya.

Sebaliknya bagi mereka yang tidak faham Perlembagaan dan Undang-Undang Adat di NS, mereka akan akhirnya membuat keputusan, tidak lagi mengikuti krisis itu. Mereka keliru siapa yang betul dan siapa salah.

Keadaan semakin merumitkan apabila masing-masing mengeluarkan hujah dan melakukan tindakan yang seolah-olah bagaikan mentafsirkan undang-undang mengikut kehendak sendiri. Penulis sama sekali tidak akan mengulas mengenai pertelingkahan yang berkaitan dengan Perlembagaan dan Undang-Undang NS itu.

Biarlah mereka yang benar-benar menguruskannya. Kelompok yang mahu melihat ia dari sudut politik tidak kira dari parti manapun tetapi ‘buta’ undang-undang NS lebih baik diam! Jangan cuba menangguk di air keruh dan cuma bertindak terpaling bijak.

Sama ada krisis NS akan berakhir atau tidak, ia bergantung kepada kesediaan semua pihak yang terlibat kembali ke meja rundingan.

Contohi pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri.Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mahu campur tangan dalam kemelut itu.

Semalam, Anwar  menegaskan bahawa beliau tidak mencampuri urusan berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan sebarang pertikaian mengenai institusi diraja itu diselesaikan mengikut Perlembagaan serta undang-undang.

“Saya kata saya tak campur. Apa yang saya campur? Undang ambil keputusan. Ada pihak yang menyokong mereka, bagi pandangan, tak ada masalah. Saya tak mahu campur.

“Tapi Undang itu pun, yang mana sah, yang mana tak sah? Pilih, selesaikan yang itu,” katanya ketika berucap pada program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum itu, Ahmad Zahid, menegaskan bahawa isu ini adalah krisis adat yang sewajarnya diselesaikan melalui jalan rundingan dan musyawarah demi menghormati kedaulatan Dewan Keadilan dan Undang (DKU), dan bukannya dibawa ke mahkamah.

Sebab itulah penulis tegaskan, mereka yang terlibat dalam konflik tersebut khususnya Yang Dipertuan Besar, Undang Yang Berempat dan Menteri Besar kembali duduk semeja. Bincang elok-elok.

Ini bukan soal krisis politik tetapi ini soal berkaitan Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS). Biarlah mereka yang terlibat berbincang selesaikan kemelut itu demi kebaikan rakyat dan negeri.

Bayangkan sudah lebih 100 hari krisis berlaku dan sudah hampir dua bulan PRN Negeri Sembilan berakhir yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) diberi mandat oleh rakyat untuk memimpin NS tetapi urusan negeri terganggu.

Justeru krisis yang berlaku perlu diselesaikan bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada urusan rakyat dan negeri. Jangan pula ada pihak yang membuat cadangan ‘jahil’ iaitu minta PRN diadakan semula. Itu semua tak ada faedahnya! PRN tiada kaitan dengan krisis berkenaan. Kecualilah jika ia berlanjut selama enam bulan dan sidang DUN tidak dapat diadakan baharulah kita boleh memperkatakan soal PRN.

Tetapi persoalannya adakah wajar kemelut tersebut mahu dibiarkan berlanjutan sehingga sampai tempoh enam bulan tersebut? Apakah akan berlaku kepada rakyat, apakah akan terjadi kepada Negeri Sembilan?

Sebab itulah untuk menenangkan keadaan mungkin buat seketika, penulis berpendapat adalah wajar jika Menteri Besar Datuk Ismail Lasim lantik sahaja Exco baharu berikutan pengguguran Exco lama oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan telahpun diwartakan.

Itu langkah terbaik untuk meredakan keadaan. Soal kedudukan Yang Dipertuan Besar, soal kedudukan Undang-Undang Berempat, biarlah diselesaikan kemudian. Ia kerana kalau masing-masing mahu mempertahankan pendirian masing-masing yang akan menjadi korban adalah rakyat dan negeri. Penulis pasti sama ada Kerajaan Negeri mahupun Istana tidak mahu itu terjadi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here