Apa lagi Ismail Lasim tunggu..berundurlah

HAKIKATNYA Menteri Besar Negeri Sembilan (NS) Datuk Ismail Lasim sudah tidak ada lagi harapan untuk mempertahankan kedudukannya apatah lagi untuk terus memperjuangkan keputusan Undang Luak Berempat bahawa Proklamasi Menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir  sebagai Yang Dipertuan Negeri Sembilan adalah sah.

Apa lagi Ismail tunggu ketika Peguam Negara sudah memutuskan bahawa pemecatan 10 Exco Kerajaan Negeri yang dibuat oleh Tunku Muhriz adalah sah dan Proklamasi tidak sah. Apa lagi Ismail tunggu apabila beliau kini bagaikan keseorangan mentadbir Negeri Sembilan. Apa lagi Ismail tunggu ketika hubungan beliau dengan Istana mungkin sukar untuk dipulihkan.

 Sebagai seorang ahli politik berpengalaman dan demi kebaikan rakyat NS serta negeri tersebut, Ismail perlu berundur secara terhormat. Berundur bukan bererti kalah, meletak jawatan bukan bererti tunduk. Tetapi Ismail harus memikirkan kepentingan rakyat dan negeri secara keseluruhan, bukannya terus mempertahankan kedudukan mahupun memperjuangkan sesuatu yang ketika ini dianggap agak sukar untuk dilakukan.

Cukuplah…Ismail sudah lakukan yang terbaik untuk apa yang beliau anggap betul demi mempertahankan Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan (UUTNS). Beliau telah berusaha habis-habisan dengan bersedia menghadapi apa juga kemungkinan demi mempertahankan Adat Perpatih.

Tetapi itu tidak bermakna kejayaan akan menyebelahi beliau,  itu tidak bererti beliau akan mencapai apa yang diperjuangkan. Justeru adalah lebih baik jika Ismail melepaskan jawatan Menteri Besar. Sampai bila Ismail mampu bertahan? Sampai bila Ismail mahu terus dengan berjuang dalam keadaan sekarang?

Apa faedah kepada rakyat dan apa manfaatnya kepada negeri jika krisis berterusan. Tindakan beliau berundur daripada jawatan Menteri Besar tidak bermakna Barisan Nasional (BN) akan hilang kuasa. BN tetap memerintah NS kerana itulah mandat diberikan oleh rakyat pada 1 Ogos lalu. Kalau ada yang menganggap  membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai jalan penyelesian…biarlah mereka dengan kejahilan politik mereka.

Serahkan sahaja jawatan Menteri Besar kepada orang lain yang akan diperkenankan oleh Yang Dipertuan Besar. Biarlah MB baharu itu mengatur barisan Exco sendiri dan seterusnya menguruskan negeri yang kini terumbang ambing.

Kemelut yang berlaku harus diakhiri segera, pertarungan yang terjadi harus ditamatkan secepat mungkin. Kasihanlah rakyat dan bersimpatilah kepada negeri. Sudah hampir dua bulan pilihan raya berakhir, sudah hampir dua bulan BN memegang kuasa tetapi kita belum nampak apa-apa yang signifikan bagi menunjukkan ke arah mana NS mahu dibawa.

Ismail perlu berjiwa besar dan berlapang dada untuk mempertimbangkan dengan serius berundur secara terhormat. Bukan kerana menyerah, bukan kerana kalah tetapi demi memastikan rakyat tidak lagi dipaksa melihat krisis yang berlaku berterusan manakala pentadbiran negeri ‘berantakan’.

Tiada guna Ismail mahu bertahan, tiada gunanya Ismail mahu terus berhujah mempertahankan apa yang beliau rasa betul. Ini bukan pertarungan dalam gelanggang politik sepertimana PRN lalu, sebaliknya krisis yang terjadi melibatkan Perlembagaan dan UUTNS serta adat.  Entah bila boleh diselesaikan.

Penulis percaya sebagai veteran politik berusia 67 dan memiliki kelulusan undang-undang dari Universiti Malaya (UM), Ismail pasti tahu apa kesudahannya jika beliau terus bertegas dengan pendiriannya.

Penulis hanya memberi pandangan, terserah kepada Ismail membuat keputusan. Semoga Ismail membuat keputusan terbaik demi rakyat dan Negeri Sembilan. Yang pasti penulis tidak nampak beliau akan berjaya dalam kemelut ini. Percayalah..



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here