DUA lelaki ditemukan meninggal dunia dalam dua kejadian berasingan di Alor Gajah hari ini.
Dalam kejadian pertama, seorang wanita berusia 38 tahun menemukan tunangnya dalam keadaan tidak bernyawa di kediamannya di Simpang Ampat kira-kira jam 11 pagi.
Wanita berkenaan dikatakan datang ke rumah lelaki itu selepas gagal menghubunginya sejak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, wanita terbabit masuk ke dalam rumah melalui tingkap sebelum menemukan mangsa dan menghubungi ambulans.
“Sebaik tiba, wanita itu yang masuk ke dalam rumah melalui tingkap, menemukan lelaki terbabit di dalam unit sebelum menghubungi ambulans.
“Pemeriksaan lanjut kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, lelaki itu yang bekerja di sebuah kilang dipercayai tinggal bersendirian di rumah berkenaan.
Sementara itu dalam kejadian kedua kira-kira setengah jam kemudian, seorang lelaki berusia 57 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah kedai terbiar di Cherana Putih, Taboh Naning.
Ahmad berkata, lelaki tempatan yang berasal dari Simpang Ampat itu ditemukan orang awam yang sedang melakukan rondaan di kawasan terbabit kira-kira jam 11.30 pagi.
“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu. Pasukan forensik dan ambulans yang tiba kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan awal polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kedua-dua kejadian, manakala tiada tanda pecah masuk turut dikesan di lokasi kejadian kedua.
“Kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.





