Jengkaut terbalik ketika kerja pembersihan: Pemandu maut, rakan terselamat

SEORANG lelaki berusia 26 tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia selepas terperangkap dalam kabin sebuah jengkaut yang terbalik ketika menjalankan kerja pembersihan di Tasik Bera, semalam.

Dalam kejadian itu, seorang lagi lelaki berusia 28 tahun yang turut berada dalam jentera berkenaan bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.11 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan penyelamat tiba kira-kira jam 2.56 petang dan mendapati sebuah jengkaut telah terbalik ketika kerja pembersihan tasik dijalankan.

“Pencarian di peringkat awal dibuat menggunakan bot di sekitar kawasan jengkaut terbalik sebelum mangsa berjaya ditemukan dan dibawa naik.

“Mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke darat sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi,” katanya.

Menurut Mohd Salahuddin, mangsa ditemukan terperangkap di dalam kabin pemandu dan pintu kabin terpaksa dipecahkan bagi membolehkan anggota penyelamat mengeluarkannya.

Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 4.10 petang sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, katanya, mangsa kedua yang berusia 28 tahun dilaporkan selamat selepas berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here