POLIS masih menantikan keputusan laporan kimia bagi melengkapkan siasatan berhubung kematian seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang cedera di sebuah asrama sekolah sukan di Kuala Pilah kelmarin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan turut merangkumi dakwaan remaja terbabit dipukul susulan isu berkaitan vape.
Menurutnya, pihak polis ketika ini belum mempunyai perkembangan baharu untuk dikongsikan dan masih menunggu hasil analisis kimia berkenaan.
“Buat masa sekarang, kita tidak ada perkembangan baharu yang boleh dikongsikan dengan pihak media.
“Setakat ini, kita lebih menunggu kepada keputusan kimia,” katanya kepada Buletin TV3 malam ini.
Mengenai dakwaan mangsa dipukul kerana isu vape, Alzafny berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan pihaknya sedang mendapatkan maklumat tambahan daripada saksi.
Beliau berkata, beberapa saksi yang telah memberikan keterangan akan dipanggil semula bagi membantu melengkapkan siasatan.
“Kita ada beberapa saksi yang kita sambung percakapan lagi untuk mendapatkan maklumat tambahan.
“Saksi ini kebanyakannya daripada pelajar asrama di situ. Setakat ini, sebanyak 21 saksi dipanggil,” katanya.
Sebelum ini, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kematian remaja berkenaan.
Dalam perkembangan sama, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan kes itu.




