Suspek samun kedai jam bersenjatakan kapak didakwa esok

SEORANG daripada dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjatakan kapak di sebuah kedai membaiki jam di Jalan Anson akan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown esok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad mengesahkan suspek berusia 43 tahun itu akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Seorang daripada suspek akan dituduh esok di Mahkamah Majistret Georgetown,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.

Sebelum ini, suspek bersama seorang lagi lelaki berusia 42 tahun direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 21 September lalu apabila kedua-dua suspek dipercayai tiba di premis terbabit menggunakan sebuah kereta.

Seorang daripada mereka kemudian masuk ke dalam kedai sebelum mengacukan kapak dan meminta isteri pemilik premis menyerahkan wang.

Bagaimanapun, pemilik kedai berusia 59 tahun cuba menghalang suspek sehingga berlaku pergelutan.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan sebelum suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta Volkswagen berwarna putih yang dipandu rakannya.

Polis kemudiannya berjaya menahan kedua-dua suspek pada hari sama hasil maklumat yang diperoleh, dengan tangkapan dibuat di sebuah kawasan perumahan di Straits Quay.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here