MAHKAMAH Majistret Georgetown hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM1,000 terhadap seorang penganggur selepas mengaku bersalah menyamun beg tangan milik seorang jemaah wanita di sebuah masjid, minggu lalu.
Tertuduh Zainal Ahmad, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan samun terhadap beg tangan yang mengandungi kad pengenalan, kad bank, kunci kereta, telefon bimbit, wang tunai RM600 serta sebentuk cincin berlian milik seorang wanita berusia 48 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di ruang solat wanita Masjid Kapitan Keling di Georgetown kira-kira jam 6.15 pagi pada 24 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, selain boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Adilla Zaharuddin.
Ketika prosiding, Siti Marissa Safina memohon hukuman setimpal dan bersifat pengajaran kerana tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu ketika pengadu sedang solat Subuh selain perbuatan berkenaan yang turut mencemarkan masjid sebagai tempat suci.
Bagaimanapun, Nur Adilla yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh tangkap selain memohon pertimbangan hukuman lebih ringan kerana tertuduh sudah bercerai dengan isterinya.
Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara selama 12 bulan dan denda RM1,000 terhadap tertuduh.
Difahamkan, tertuduh baru sahaja dibebaskan daripada hukuman penjara pada Februari lalu.
Media pada Khamis lalu melaporkan, tertuduh ditahan di Terminal Feri Pengkalan Raja Tun Uda pada jam 5.27 petang hari yang sama ketika melarikan diri selepas menyamun beg tangan pengadu yang bersolat Subuh di masjid terbabit.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa menyedari suspek cuba mengambil beg tangannya lalu bertindak menghalang perbuatan itu sehingga berlaku pergelutan.






