YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim hari ini, Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.
“Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang,” menurut hantaran tersebut.
Allahyarhamah Dr Siti Hasmah dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Allahyarhamah berkahwin dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 1956 dan dikurniakan empat anak kandung, Marina, Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz, selain mempunyai tiga anak angkat iaitu Melinda, Mazhar dan Maizura.
Dr Hasmah yang baru menyambut ulangtahun kelahiran ke-100 pada 12 Julai lalu, merupakan antara tokoh perubatan wanita terawal negara dan banyak menyumbang dalam bidang kesihatan awam, khususnya kesihatan ibu dan kanak-kanak.





