JENAZAH Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selamat dikebumikan di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya lewat petang ini.
Pengebumian Allahyarham diberi penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Istiadat pengebumian diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat membabitkan lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Suasana hiba menyelubungi Pusara Negara ketika istiadat pengebumian berlangsung, dengan penghormatan terakhir diberikan kepada Allahyarham oleh pemimpin yang hadir serta orang ramai.

Selesai pengebumian, istiadat diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Abd Shukor Mahmood.

Talkin kemudiannya disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.
Istiadat itu selesai sekitar jam 6.40 petang.
Sebelum itu, suasana pilu menyelubungi Pusara Negara ketika istiadat pengebumian berlangsung dengan penghormatan terakhir diberikan kepada Allahyarham yang juga tokoh perubatan negara.

Allahyarham Dr Siti Hasmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi.
Jenazah dibawa pulang ke kediamannya di The Mines, Seri Kembangan pada jam 10.48 pagi sebelum disolatkan di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun.
Allahyarham adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara selain turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.




