SEORANG lelaki ditahan polis selepas dipercayai membakar sebuah rumah sebelum menyerang dan menikam dua beradik dalam kejadian di Segambut, Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 5 pagi itu berlaku ketika lima sekeluarga sedang tidur sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi kecoh dari luar rumah.
Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Y berkata, dia kemudian membuka pintu untuk memeriksa keadaan dan mendapati seorang lelaki sedang menuang minyak sebelum membakar kediaman mereka.
“Saya juga lihat lelaki itu memanjat tembok pagar dan membakar kawasan halaman rumah.
“Malah dia turut meluru masuk ke dalam rumah dan terus ke bilik tidur di tingkat atas sebelum menikam anak perempuan berusia 21 tahun dan membakar bilik,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut Y, anak lelakinya yang berusia 18 tahun turut menjadi mangsa apabila cuba menghalang suspek daripada meneruskan serangan.
“Dia (suspek) kemudian mengurung diri dalam salah sebuah bilik sebelum polis tiba jam 6 pagi dan menahannya.
“Lelaki itu turut mengamuk dan menikam pehanya sendiri. Apa yang saya tahu dia mengenali anak perempuan saya semasa bermain permainan atas talian.
“Saya tidak tahu motif dia menyerang anak saya. Kedua-dua anak saya mengalami kecederaan di perut, tangan dan kaki dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.
Suspek kemudiannya ditahan polis selepas mengurung diri di dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri mengesahkan kejadian terbabit dan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.





