SEORANG jurujual syarikat kenderaan terpakai cedera parah selepas ditetak dengan parang oleh seorang lelaki yang dipercayai cuba mencuri bateri kenderaan di sebuah premis di Jalan Kuda Emas di Cheras semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa iaitu lelaki warga asing berusia 54 tahun sedang menjalankan tugas di premis berkenaan sebelum diserang suspek.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Lim Chun How berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.52 pagi hari sama.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala selain beberapa bahagian badan lain akibat serangan tersebut.
“Mangsa kini berada dalam keadaan separa kritikal dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tunku Azizah (HTCM).
“Motif kejadian dipercayai melibatkan suspek yang cuba mencuri bateri kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Polis katanya, sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 03-9205 0222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.





