Rokok seludup 102 karton dirampas, lelaki ditahan di Bidor

KEGIATAN seorang lelaki tempatan menjual rokok disyaki tidak bercukai terbongkar selepas dia ditahan polis bersama 102 karton rokok dalam serbuan di Jalan Sungkai, Taman Aman di Bidor kelmarin.

Suspek berusia 52 tahun itu ditahan sepasukan anggota Cawangan Risikan/Task Force Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor kira-kira jam 8.15 malam selepas polis mengesan sebuah Proton Iswara putih dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit menemukan pelbagai jenis rokok yang disyaki diseludup.

“Polis turut merampas sebuah kereta Proton Iswara dan satu unit kunci kereta, manakala nilai keseluruhan rampasan masih dalam penilaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki dan menjual rokok berkenaan serta dipercayai telah menjalankan kegiatan itu sejak kira-kira tiga tahun lalu.

“Suspek mendakwa mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki tempatan setiap minggu sebelum mengedarkannya kepada peniaga kecil di kawasan sekitar,” katanya.

Suspek kini direman selama empat hari bermula 29 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Mohd Alwi berkata, sampel barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis, selain siasatan diteruskan bagi mengesan sumber bekalan dan rangkaian pengedaran rokok berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here