SEORANG wanita warga Indonesia ditemukan maut di sebuah rumah pekerja di Ladang Felda Umas 6, Jalan Kalabakan, kelmarin di mana suaminya kemudian ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, mangsa berusia 37 tahun yang bekerja di ladang terbabit ditemukan mengalami kecederaan pada tangan, kepala dan leher.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 8.15 malam oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa yang juga warga Indonesia berusia 38 tahun.
Rosdi memberitahu, suspek turut mengalami kecederaan pada leher selepas dipercayai cuba mengelar dirinya menggunakan sebilah sabit.
“Suspek kini menerima rawatan di Hospital Tawau,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah rumah tangga selepas pasangan berkenaan pulang daripada bercuti.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintenden Maliki Majuni di talian 017-898 9171 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.





