Bersatu pulih dulu kekuatan..usah menyibuk soal PN

PEMIMPIN Bersatu mungkin teruja apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah menggantung serta-merta kegiatan Perikatan Nasional (PN) yang kini diterajui oleh Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr.Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusinya.

Tetapi penggantungan itu hanya melibatkan kegiatan PN bukan parti-parti komponennya. Oleh itu Pas, Wawasan, Gerakan dan MIPP masih tetap boleh bertanding dalam pilihan raya khususnya yang terdekat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Namun apa yang lebih penting daripada itu, penggantungan tersebut sama sekali tidak menggugat kekuatan Pas yang kini sedang berunding dengan UMNO untuk menjalin persefahaman di PRN tersebut. 

Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan bahawa parti itu akan bertanding antara tujuh hingga 10 kerusi di Melaka membuktikan Pas tetap utuh di sebalik berhadapan tindakan RoS dalam isu PN. Tetapi bagaimana dengan Bersatu? Khabarnya walaupun sudah menghadiri ‘majlis makan malam bersama’ dengan pemimpin PKR Melaka, namun itu tidak bermakna akan wujud kerjasama antara PH dan Bersatu.

Semalam Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan, pakatan itu belum membuat sebarang keputusan berhubung rakan kerjasama yang akan dipilih bagi menghadapi PRN Melaka.

Katanya, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik PH perlu diputuskan Majlis Presiden PH dan tidak boleh didahului mana-mana pimpinan.

“Kita belum buat apa-apa keputusan untuk PH. Tidak ada pimpinan yang akan mendahului keputusan yang akan dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan, kecuali kuasa itu telah diturunkan kepada Pakatan Harapan Melaka,’’ kata Fahmi.

Oleh itu pemimpin Bersatu jangan menaruh harapan sangat untuk bekerjasama dengan PH  sebab ada ‘gosip-gosip’ bahawa majoriti  pemimpin PKR tidak bersetuju jika parti itu mahu bekerjasama dengan Bersatu. Mereka menolak kerjasama dengan Bersatu yang Setiausaha Agungnya adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali – bekas Timbalan Presiden PKR.

Tetapi kalaupun PH bekerjasama dengan Bersatu, ia tidak akan mendatang apa-apa impak kepada kesepakatan itu. Ia kerana Bersatu sememangnya sudah tidak ada apa-apa kekuatan bukan kata di Melaka malah seluruh negara. Malah ada cakap-cakap ramai lagi pemimpin dan ahli Bersatu akan tinggalkan parti itu.

Justeru lebih baik pemimpin Bersatu  tumpu pulihkan dulu kekuatan  parti tersebut dan selesaikan masalah dalamannya, tidak perlu menyibuk soal PN apatah lagi ‘menyimpan impian’ mahu kembali menerajui PN.  Sampai bila Bersatu  mahu masuk pilihan raya sekadar untuk ‘kumpul angka calon hilang deposit’ …tak syok la kan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here