SPRM terus  perangi individu gadai integriti, khianati amanah

SEMPENA ULANG TAHUN SPRM KE-59

HARI  ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut ulang tahun ke-59. Ketika ini agensi yang semakin digeruni berikutan tindakan tegasnya dalam membanteras rasuah dipimpin oleh Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya.

 Abdul Halim yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Tinggi melangkah masuk ke SPRM pada 13 Mei 2026 ketika agensi itu berada dalam kedudukan menjadi perhatian nombor satu rakyat Malaysia.  Apabila menyebut tarikh 13 Mei,  ada yang masih menganggap ia ‘tarikh panas’ apabila mengenangkan peristiwa rusuhan kaum di negara ini pada 13 Mei 1969.

Begitu juga kerusi yang diduduki oleh Abdul Halim di SPRM pada 13 Mei lalu, ia juga ‘kerusi panas bukan kata panas malah cukup panas’. Sebelum itu sudah enam Ketua Pesuruhjaya berada di situ. Terakhir ialah Tan Sri Azam Baki yang memegang jawatan berkenaan mulai 9 Mac 2020 hingga 12 Mei 2026.

Individu pertama menyandangkan  jawatan tersebut ialah Allahyarham Datuk Seri Ahmad Said Hamdan (14 Mei 2009-31 Disember 2009). Sebelum itu Allahyarham adalah Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) seterusnya Tan Sri Abu Kassim Mohamed (1 Januari 2010-31 Julai 2016), Tan Sri Dzulkifli Ahmad (1 Ogos 2016-14 Mei 2018), Tan Sri Mohamed Shukri Abdull ( 17 Mei 2018 hingga 4 Jun 2019) dan Latheefa Koya (4 Jun 2019-6 Mac 2020).

Bermula daripada Abu Kassim sehinggalah ke hari ini SPRM terus menjadi tumpuan rakyat. Skandal 1MDB telah memungkinkan keadaan itu berlaku selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bekas Perdana Menteri pertama dihukum penjara.

Dalam skandal tersebut SPRM telah berjaya mendapatkan kembali RM31.3 bilion atau bersamaan 74.5 peratus daripada RM42 bilion dana 1MDB yang diseleweng setakat tahun lalu.

Selepas itu SPRM terus melangkah dengan pembongkaran:

* Sindiket Counter Setting – kegiatan penyeludupan melibat sindiket bersekongkol dengan pegawai imigresen untuk menyeludup warga asing di pintu masuk udara negara tanpa melalui prosedur yang sah.

* OP Parasit: – Siasatan rasuah, salah guna kuasa, dan pengubahan wang haram melibatkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) berkaitan tender perolehan di bawah Tentera Darat Malaysia (TDM).

*Siasatan Kelewatan Agihan Baja 3: Isu kelewatan pengagihan Baja Sebatian Tambahan (Baja Padi 3) yang menjejaskan pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah.

*RCI Tabung Haji: Siasatan yang dijalankan SPRM susulan hasil Laporan Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji berkait urus niaga pembelian yang tidak memberi keuntungan kepada Tabung Haji.

*Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP):  Siasatan melibatkan pelaburan sebanyak RM200 juta dalam syarikat eFishery.

Dalam semua operasi itu ia melibatkan penahanan dan pendakwaan terhadap mereka yang berprofail tinggi termasuklah bekas menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan termasuk ATM. Sudah pasti dalam keadaan itu, SPRM berhadapan dengan persepsi dan tohmahan khususnya apabila melibatkan orang politik namun SPRM tidak ada masa untuk melayan semua itu.

Datuk Seri Abd Halim Aman.

Apa yang penting seperti mana kata Abdul Halim dalam wawancara bersama media sempena Ulang tahun SPRM Ke-59, di Putrajaya, baru-baru ini,  bagi tahun 2026 SPRM memberi penekanan kepada beberapa bidang yang mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan rakyat dan pengurusan sumber negara.

Empat fokus utama yang diberikan perhatian ialah perolehan kerajaan, penguatkuasaan, dana awam atau peruntukan khas kerajaan serta  hasil dan pendapatan kerajaan.

‘’Keempat-empat bidang ini dipilih kerana ia melibatkan jumlah kewangan yang besar serta penggunaan kuasa serta amanah yang diberikan kepada pihak tertentu. Sekiranya berlaku rasuah, salah guna kuasa atau ketirisan dalam bidang-bidang ini, kesannya bukan sahaja kepada kerajaan tetapi akhirnya dirasai oleh rakyat,’’ katanya.

Hakikatnya, mereka diberi amanah untuk mengendalikan keempat-empat perkara itu bukannya tidak tahu dosa pahala, mereka bukannya tidak tahu halal haram tetapi mereka ingin hidup mewah dengan cara mudah, justeru integriti digadai, maruah dijual dan amanah dikhianati. Yang akan menanggung akibat daripada ketamakan mereka ialah rakyat dan negara.

Justeru apabila Abdul Halim melaporkan diri beliau menggariskan lima teras kepimpinannya iaitu integriti tanpa kompromi,penguatkuasaan yang adil dan saksama,pencegahan yang proaktif,  penerapan teknologi dan ketelusan serta kepercayaan rakyat.

Dalam soal integriti tanpa kompromi, penegasan terhadap perkara ini amat penting kerana rasuah sama sekali tidak boleh dibanteras jika tiada integriti.

Bagi mengukuhkan integriti ia bukan sekadar dijadikan slogan atau motto mana-mana agensi atau sekadar mewujudkan pegawai integriti atau mengangkat ikrar tetapi ia harus benar-benar disemat dalam hati. Justeru adalah tepat sekali apabila  Abdul Halim menegaskan, integriti  tidak boleh dikompromi atas apa jua alasan, sama ada dalam membuat keputusan, menjalankan siasatan mahupun melaksanakan tanggungjawab harian.

‘’Prinsip ini bukan sahaja bermaksud SPRM akan mengambil tindakan terhadap segala bentuk jenayah rasuah tanpa mengira pangkat, kedudukan atau latar belakang individu yang disiasat. Pada masa yang sama, integriti juga mesti bermula daripada dalam diri warga SPRM sendiri.

‘’Dalam erti kata lain, SPRM bukan sahaja bertanggungjawab memastikan orang lain mematuhi prinsip antirasuah, tetapi kita sendiri mesti menjadi contoh kepada prinsip tersebut. Integriti mesti menjadi budaya, bukan sekadar peraturan. Ia perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan, keputusan serta cara kita melaksanakan amanah kepada rakyat,’’ tegasnya.

Atas sebab itulah selaras dengan penegasan Abdul Halim, penulis pendapat warga SPRM bukan sahaja perlu bersih tetapi mesti nampak bersih. Mereka perlu mengelakkan diri daripada terlibat dalam apa juga perbuatan yang boleh mewujudkan persepsi terhadap integriti SPRM.

Sememangnya dalam soal penguatkuasaan yang adil dan saksama, penulis   bersetuju dengan kenyataan Abdul Halim bahawa setiap tindakan oleh SPRM hendaklah berasaskan undang-undang, bukti dan prinsip keadilan, tanpa gentar, tanpa pilih kasih dan tanpa dipengaruhi oleh kepentingan tertentu.

‘’Atas prinsip tersebut, SPRM kini menggantung pemakaian baju lokap berwarna oren terhadap Orang Kena Siasat (OKS) bagi proses reman di mahkamah. Langkah ini antara lain bertujuan mengelakkan persepsi negatif terhadap individu yang masih berada pada peringkat siasatan dan belum diputuskan bersalah oleh mahkamah,’’ katanya.

 Sehubungan itu penulis berpendapat adalah wajar SPRM memastikan  mana-mana individu tidak kira apapun kedudukan khususnya dalam kes berprofail tinggi  yang ditahan reman dan kemudiannya dibebaskan tanpa pendakwaan perlu dibersihkan nama mereka.

SPRM harus membuat pengumuman bahawa individu berkenaan telah dibebaskan sepenuhnya dan tiada pendakwaan dibuat. Ia juga selaras dengan prinsip keadilan memandangkan ketika dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman terutamanya bagi kes berprofail tinggi ia mendapat liputan media.

Adalah tidak adil ketika direman  ‘riuh seluruh negara’ apabila tiada pendakwaan ‘sunyi sepi’ sehingga ramai tertanya-tanya apa status individu yang tidak didakwa tersebut. Ini bukan sahaja soal keadilan tetapi juga maruah seseorang.

Berkaitan pencegahan yang proaktif pula, Abdul Halim menegaskan, perjuangan membanteras rasuah tidak boleh hanya tertumpu kepada tindakan selepas sesuatu kesalahan berlaku.

‘’ Kita perlu lebih ke hadapan dengan mengenal pasti kelemahan sistem, menutup ruang serta memperkukuh mekanisme pencegahan supaya risiko rasuah dapat ditangani sebelum ia menjadi lebih serius,’’ katanya.

Apa yang digariskan oleh Abdul Halim itu adalah benar kerana ‘spesis’ yang mahu menjamah wang haram sentiasa mencari apa jua ruang untuk mengkhianati amanah diberi  untuk hidup mewah.

Oleh itu langkah pencegahan bukan sahaja perlu proaktif malah harus  lebih ke hadapan atas sebab itulah  penerapan teknologi dan ketelusan amat penting. Ia kerana seperti mana kata Abdul Halim bagi meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh ketelusan dalam pelaksanaan tugas. Jika itu dapat dilaksanakan sudah pastilah SPRM akan dapat mencapai teras kelima iaitu kepercayaan rakyat.

‘’Inilah matlamat yang perlu sentiasa kita pelihara. Kepercayaan tidak boleh dituntut, sebaliknya perlu dibina melalui tindakan, prestasi, integriti dan konsistensi,’’ katanya.

Kesimpulannya Selamat Ulang Tahun Ke-59, SPRM. Teruslah berjuang demi kepentingan rakyat dan menyelamatkan sumber negara dengan memerangi kelompok yang sanggup menggadai integriti,menjual maruah dan mengkhianati amanah untuk hidup mewah dengan wang haram.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here