Salahguna pelaburan RM10 juta: SPRM reman dua tokoh korporat adik beradik bergelar Datuk Seri, Datuk Wira

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua tokoh korporat yang juga adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira kerana disyaki bersubahat menyeleweng serta menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.

Perintah reman selama lima hari sehingga 5 Oktober depan terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

SALAH seorang tokoh korporat yang direman SPRM bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi. GAMBAR: SPRM

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam tadi ketika hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan pada penghujung 2020.

Mereka juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan bagi meluluskan pelaburan kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada salah seorang suspek yang bergelar Datuk Seri berusia lingkungan 40-an.

Dalam perkembangan sama, SPRM turut menyita 15 unit kereta mewah, 12 unit motosikal berkuasa tinggi, lima unit jam tangan mewah, tiga unit gelang tangan serta wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here