SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua tokoh korporat yang juga adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira kerana disyaki bersubahat menyeleweng serta menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.
Perintah reman selama lima hari sehingga 6 Oktober depan terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam tadi ketika hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan pada penghujung 2020.
Mereka juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan bagi meluluskan pelaburan kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada salah seorang suspek yang bergelar Datuk Seri berusia lingkungan 40-an.
Dalam perkembangan sama, SPRM turut menyita 15 unit kereta mewah, 12 unit motosikal berkuasa tinggi, lima unit jam tangan mewah, tiga unit gelang tangan serta wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.





