Lelaki tempatan ditahan, cuba seleweng diesel hampir RM1 juta

SEORANG lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai pengedar ditahan selepas kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi sebanyak 23,000 liter bernilai RM949,160 terbongkar di Jalan Penaga, Taman Kota Puteri, Masai, Johor Bahru, semalam.

Suspek berusia 50 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 11.45 pagi menerusi Op Taring Landai yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, operasi itu dijalankan susulan maklumat awam berhubung kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.

Katanya, pemeriksaan awal dilakukan Unit Risik Marin (URM) Johor terhadap dua lori yang berada di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan yang disaksikan pemandu terbabit membawa kepada penemuan sejumlah minyak diesel yang disimpan dalam tangki petak (square tank) di bahagian belakang lori.

“Hasil soal siasat awal dan pandu arah daripada suspek kemudiannya membawa pasukan polis kepada penemuan tiga lagi lori yang diletakkan di tepi jalan berhampiran premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keseluruhan lima lori disita dalam operasi berkenaan membabitkan dua lori jenis Isuzu berwarna hijau, dua lori Hino berwarna putih dan sebuah lori Mitsubishi Fuso berwarna hijau.

Noor Azman berkata, selain lima lori, pihaknya turut menyita 23,000 liter diesel, 24 tangki petak serta dua pam elektrik lengkap dengan hos.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Tangkapan dan kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor untuk tindakan lanjut,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here