MISTERI kehilangan seorang lelaki selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Pan Borneo dekat Kampung Kawakaan, di Kota Kinabalu petang semalam, terjawab apabila jasadnya ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi kemalangan pagi ini.
Mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 40-an ditemukan pasukan bomba pada jam 10.30 pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula.

Ketua Zon Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Johari Dzulkiflie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 4.55 petang semalam.
Menurutnya, pemeriksaan sebaik pasukan tiba di lokasi mendapati mangsa tiada di dalam kenderaan atau kawasan berhampiran.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan serta kawasan sekitar bagaimanapun tidak menemukan mangsa.
“Bomba bersama polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi, namun operasi ditangguhkan jam 8.10 malam atas arahan polis dan akan disambung sekiranya terdapat petunjuk baharu,” katanya.
Johari berkata, operasi pencarian diteruskan pagi ini sebelum pasukan menemukan mangsa kira-kira 300 meter dari kedudukan kenderaan.
Jasad mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, kejadian berkenaan turut mendapat perhatian selepas rakaman video kenderaan terbabit tersebar di media sosial.
Rakaman yang dipercayai dirakam pengguna jalan raya menunjukkan kenderaan itu terbabas dan terjunam ke dalam parit ketika hujan lebat petang semalam.
Beberapa individu dilihat berada di lokasi bagi membantu, manakala sebuah kren turut digunakan untuk mengeluarkan kenderaan terbabit dari dalam parit.





